Click for Singapore, Singapore Forecast

My OBS Journey

Day : I | II | III | IV | V | VI| VII | VIII| IX| X & XI| XII | XIII

Tuesday, June 9, 2009

Bahasa Melayu Malaysia

Saya sedang berbaring memandang siling putih dan kipas yang berputar-putar apabila tertibanya saya terfikir bahawa saya sudah pun menggunakan Bahasa Malaysia untuk lebih dari satu dekad (sebenarnya hampir dua dekad). Walaupun sedemikian, saya tidak dapat ingat bilanya kali terakhir saya telah menulis esei dalam Bahasa Malaysia. Oleh itu, saya terfikir idea yang "bernas" sekali untuk mengepos mesej ini dalam bahasa kebangsaan hanya untuk keseronokan dan menguji penulisan diri saya sekali lagi.

Bahasa Malaysia; saya tidak memahami mengapa orang ramai berasa hairan apabila saya bertutur dalam bahasa ini dengan rakan-rakan sebaya saya sewaktu saya belajar di sekolah. Saya boleh dikatakan agak fasih berbahasa Malaysia dan juga sentiasa mendapat prestasi yang lebih baik dalam matapelajaran Bahasa Malaysia berbanding dengan rakan-rakan Melayu saya yang lain. Ya, saya bertutur dalam Bahasa Malaysia dengan rakan-rakan saya yang berbangsa Cina walaupun kami sebenarnya boleh memilih untuk berinteraksi dalam bahasa Cina. Saya tidak pernah berasa keberatan atau segan apabila berbuat sedemikian tetapi dari pandangan orang lain, mereka mesti berfikiran bahawa saya (dan rakan-rakan saya) mempunyai masalah otak. "Mengapa orang Cina tidak mahu bertutur dalam Bahasa Cina?". Dari pandangan saya, apa masalahnya bertutur dalam Bahasa Malaysia antara orang Cina? Saya berbangsa Malaysia dan menggunakan Bahasa Malaysia. Masalah? Saya rasa tidak. Masalah sebenar ialah caranya orang berfikir. Saya tidak pernah berasa pelik apabila melihat orang India bertutur dalam Bahasa Malaysia antara satu sama lain. Saya rasa ia adalah amat biasa. Saya masih ingat seorang kawan Cina saya yang selalu bertutur dalam Bahasa Malaysia dan enggan sama sekali bertutur dalam Bahasa Cina walaupun dipaksa untuk berbuat demikian sehingga saya berfikiran bahawa dia tidak tahu Bahasa Cina langsung. Hanya setahun atau dua yang lalu saya baru mendapati bahawa dia sebenarnya mengetahui lebih banyak dialek Cina daripada saya. Betapa malunya saya kerana memandang rendah dia sebelum ini.

7 tahun telah pun berlalu sejak saya berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia dengan rakan-rakan sebangsa saya. Ini bukannya kerana saya berasa malu untuk bertutur dalam bahasa ini, tetapi ini adalah kerana kehidupan saya sewaktu di universiti telah melatih saya untuk bertutur dalam kebanyakan Bahasa Inggeris dan mungkin Bahasa Cina sekali sekala. Sehingga sekarang, saya masih mendapati orang ramai masih tidak berubah. Contoh yang paling baik ialah bila saya bermain permainan on-line bersama kawan kawan saya di mana kita mempunyai tabiat untuk mengetaip Bahasa Malaysia dicampur dengan Bahasa Inggeris apabila berbual. Saya berasa sangat tersinggung kerana hampir setiap kali kami berbuat demikian, mesti ada pemain lain yang membalas "you malay?". Saya akan membalas "Nop, i'm chinese". Kemudian mereka akan tanya, "wtf? chinese also speak malay?" atau ayat ayat lain yang memberi makna yang lebih kurang sama. Pada pandangan saya, apa salahnya berbual dalam Bahasa Malaysia? Adakah saya melanggar undang-undang apabila berbuat begitu? Kalau tidak, apakah masalah mereka?

Saya mesti mengaku, sejak dari hari saya berhenti sekolah menengah, saya tidak pernah mendengar sepatah perkataan Bahasa Malaysia pun yang bertukaran antara dua orang Cina, kecuali saya dan rakan-rakan saya sekali sekala. Saya tidak tahu sama ada ini adalah perkara yang biasa, ataupun ini adalah kerana orang masih berfikiran bahawa Orang Cina tidak patut bertutur dalam Bahasa Malaysia sesama sendiri. Ataupun adakah ini bermakna bahawa saya luar biasa?

Walau apa pun yang berlaku, saya masih berbangga mempelajari bahasa yang unik ini kerana saya tahu bahawa ini adalah lagi satu bahasa yang bukannya dapat difahami atau dipelajari sewenang-wenangnya oleh orang asing. Diharap, sesiapa yang membaca pos ini, akan mengambil masa seketika untuk memikirkan sama ada apa yang telah dikatakan oleh saya adalah benar :) Have a good day. Oooppss...salam sejahtera, dan terima kasih kerana mendengar repekan saya.


P/S - Translasi boleh dibuat atas permintaan :P Translation is available upon request :P